Jumaat, 3 Jun 2011

berita yang terkini

PUTRAJAYA 18 Mei - Majlis Konvokesyen pertama Akademi Industri Sime Darby baru-baru ini pasti meninggalkan kenangan manis buat dua orang pelajarnya, Mohd. Shahir Che Me dan Muhammad Faizul Zakaria.
Ini kerana pada majlis konvokesyen yang julung-julung kali diadakan itu, kedua-dua graduan berusia 20 tahun itu naik ke pentas bukan sekadar menerima sijil masing-masing bahkan disertakan dengan anugerah graduan cemerlang.
Mohd. Shahir dipilih sebagai penerima Anugerah Kecemerlangan Kokurikulum dan Akademik manakala Muhammad Faizul meraih Anugerah Kecemerlangan Akademik.
Lebih menarik, kedua-duanya bukanlah daripada keluarga berada sebaliknya masing-masing berbapakan pesawah dan pemilik kedai kopi.
Ketika ditemui pemberita, Mohd. Shahir memberitahu, tekadnya untuk mengubah nasib keluarga menjadi pendorong utama kepadanya untuk tekun belajar dan mencapai keputusan cemerlang.
"Keluarga saya di kampung hanya bergantung hidup kepada hasil sawah yang diusahakan oleh ayah.
"Sebab itulah saya menyimpan azam untuk berjaya dalam pelajaran agar suatu hari nanti mampu mengubah nasib keluarga saya menjadi lebih baik daripada sekarang," katanya yang berasal dari Arau, Perlis.
Majlis konvokesyen itu disempurnakan oleh Ahli Majlis Tertinggi Yayasan Sime Darby, Tan Sri Dr. Wan Mohd. Zahid Mohd. Noordin.
Seramai 25 graduan menerima sijil masing-masing pada majlis konvokesyen yang berlangsung di Hotel Marriott, Putrajaya di sini.
Dalam pada itu, Muhammad Faizul memberitahu, Anugerah Kecemerlangan Akademik yang diterima merupakan penghormatan tertinggi yang pernah diterima sepanjang hidupnya.
Katanya, pengiktirafan itu akan dijadikan semangat untuk terus berjaya dan menghadapi apa jua cabaran mendatang.
"Saya sebenarnya kagum dengan ayah yang hanya mengusahakan kedai kopi tetapi dapat pula membesarkan anak-anak dengan memberikan ilmu pengetahuan sebagai bekalan pada masa depan.
"Sebab itulah saya berusaha bersungguh-sungguh sehingga mencapai kejayaan ini. Anugerah ini saya hadiahkan kepada ayah dan emak saya," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan